Written by Zul Fikri Zamir. Original article can be obtained here.
“Kami memang orang miskin. Di mata orang kota kemiskinan itu kesalahan. Lupa mereka, lauk yang mereka makan itu kerja kami,”
- Gadis Pantai, Pramoedya Ananta Toer
BADRI paling awal sekali keluar dari program Projek ‘Bedtime Stories’ malam itu. Tanpa disuruh, tatkala melihat kelibat Kak Jihah, dia terus bangkit dan keluar mencari seliparnya. Diikuti Zarul, mereka adalah di antara 6 orang anak-anak Teach For The Needs (TFTN) yang akan menjalani kelas intensif ‘program membaca’ kendalian sukarelawan TFTN.
Di dalam ruang khas ini, mereka sabar menunggu Kak Jiher mengeluarkan pensel, pemadam dan buku Bacalah Sayang milik mereka. Badri (9 tahun) dan Zarul (7 tahun), sudah menunjukkan peningkatan yang memberansangkan.
Kelas intensif ‘program membaca’ ini, diadakan sebanyak dua kali seminggu iaitu pada malam Selasa dan Rabu. Diupayakan sepenuhnya oleh sukarelawan TFTN, tiga mahasiswa dari UiTM Shah Alam iaitu Kak Husna, Kak Jiher dari MSU serta Abang Afiq dari IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras.
Bersempena dengan Kempen #TFTNMembaca 2013, TFTN melancarkan ujian saringan literasi terhadap semua anak-anak TFTN di seluruh negara. Dapatan awal kami menunjukkan jumlah yang membimbangkan untuk jumlah anak-anak berumur 5 hingga 16 tahun yang masih belum boleh membaca.
Untuk setiap rumah anak yatim di bawah kelolaan TFTN, data memperlihatkan anak-anak yang masih belum menguasai kemahiran membaca adalah sekitar 10%.
Musim Peperiksaan
Masalah utama sistem pendidikan konvensional yang kita semua anuti kini adalah apabila kita mengamalkan sistem penilaian seragam untuk semua murid untuk menilai aspek intelek semata-mata. Beberapa minggu yang lalu, peperiksaan UPSR untuk menilai pelajar tahun 6 yang berumur 12 tahun baru sahaja selesai.
Menyambung musim peperiksaan ini adalah peperiksaan PMR pula untuk menguji pelajar tingkatan 3 yang berumur 15 tahun. Menyusul sehingga ke hujung tahun adalah peperiksaan SPM untuk menguji pelajar Tingkatan 5 yang berumur 17 tahun.
Malangnya, untuk anak-anak seperti Badri ataupun Zarul, apakah harapan mereka untuk peperiksaan seperti ini? Apakah anak-anak kelas corot ini, yang mendiami rumah-rumah anak yatim sepanjang tahun serta tidak punya keluarga untuk menyemak kerja rumah mereka, dapat bersaing dengan anak-anak dari kelas lain yang sepanjang malam menghadiri kelas tambahan, menghabiskan berbakul-bakul set soalan tahun lepas serta mengulangkaji melalui siri televisyen Astro Tutor TV?
Anak-anak ini bukan sahaja ketinggalan dari aspek fizikal iaitu sumber kewangan yang terhad, ketiadaan buku latihan, malah lebih menyukarkan mereka ketinggalan dari aspek psikologi dan kasih sayang. Untuk sebahagian besar anak-anak ini, asrama adalah dunia mereka 24 jam 7 hari seminggu.
Di mana Falsafah Pendidikan Negara?
Ketika inilah lahirnya soalan; di manakah Falsafah Pendidikan Negara (FPN) ketika anak-anak seperti Badri dan Zarul di seluruh negara memerlukannya?
Oleh yang demikian ada baiknya kita baca semula Falsafah Pendidikan Negara yang berbunyi;
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. “
Untuk memudahkan kita memahami falsafah ini, secara ringkasnya FPN menggariskan item Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial serta meletakkan kayu ukur seimbang kesemua item tersebut di hujung pendidikan. Bacaan semula falsafah ini amat penting untuk memahami corak pendidikan yang sedang kita jalani kini, hala tuju serta ideologi yang menggerakkan keseluruhan sistem yang menyokong di belakang gerak kerja Kementerian Pelajaran.
Berbeza, falsafah pendidikan negara Jepun menekankan item ‘kejujuran’, falsafah pendidikan Korea Selatan yang pro-Cofucianism menekankan ‘kerja keras’, manakala falsafah pendidikan Finland menekankan ‘pedagogi yang berkesan’ atau ‘pedagogical autonomy’.
Cinta, Cinta dan Cinta
Kisah Badri dan Zarul bukan hanya cebisan dua kisah sahaja. Di seluruh negara, terdapat ribuan rumah-rumah anak yatim yang menempatkan puluhan ribu samada anak yatim atau anak dari keluarga miskin yang nasib mereka di sekolah hanyalah di kelas-kelas corot.
Begitu juga golongan marginal yang lain seperti anak-anak pedalaman di Sabah dan Sarawak serta anak-anak orang asli di penempatan orang asli. Anak-anak ini hadir ke sekolah dengan niat yang suci untuk belajar dan menimba ilmu pengetahuan, tetapi kemudiannya menjadi mangsa kepada sistem. Lebih mencengangkan, jumlah anak-anak ini begitu ramai sekali kerana sistem sedia ada hanya memberi perhatian dan pengiktirafan kepada anak-anak yang cemerlang, bukannya menghargai setiap individu dengan keupayaan mereka.
Ini mengakibatkan dua teres strata wujud dalam keadaan tidak kita sedari. Di satu hujung, wujudnya kelompok dari golongan cemerlang yang dirai dan disukai oleh masyarakat, manakala di satu hujung lagi wujud kelompok dari kelas corot yang dibenci oleh masyarakat. Ketika kita berbangga dengan keputusan anak-anak cemerlang dan memuji-muji mereka dengan pujian seperti rajin dan bijak, kita sergah anak-anak kelas corot dengan makian seperti pemalas dan bodoh.
Hakikatnya, kedua golongan ini bersaing di dalam sebuah sistem yang sama sekali tidak adil dan rata buat mereka. Jelas sekali, yang kita perlukan kini adalah Cinta, Cinta dan Cinta. Jika kita ajarkan anak-anak kita erti Cinta, dan bagaimana kemanusiaan ini dengan Cinta, sudah pasti anak-anak kita kini tidak akan tegar meninggalkan rakan-rakan mereka yang tidak benasib baik terkontang-kanting di kelas corot.
Untuk anak seperti Badri dan Zarul, sekolah kini bukan lagi tempat untuk mengajarkan mereka tentang dunia, tetapi sebuah penjara yang perlu dihadiri setiap hari kerana hukumnya begitu. Jika benar sekolah adalah tempat untuk mengajarkan mereka apa yang benar dan apa yang salah, mengapa anak-anak ini masih kekal di kelas hujung dan corot?
Pedagogi Anak Kelas Hujung
Dalam sejarah pendidikan, satu-satunya pedagogi yang akan diingati kerana memihak kepada kaum tertindas adalah tulisan Paulo Freire, Pedagogy of the Oppressed. Freire menegaskan, pelan-pelan pendidikan di akhirnya akan menyumbang kepada penyisihan terhadap golongan marginal dan tertindas ini.
Berbeza sekali dengan konsep pendidikan itu sendiri iaitu pembebasan, sistem dan konsep pendidikan zaman ini tidak membantu masyarakat keluar dari stereotaip golongan ‘penindas dan tertindas’. Melalui tulisannya juga Freire menegaskan pendidikan itu sendiri adalah sebuah tindakan ‘Cinta’, bahawa pendidik haruslah bertindak atas nama ‘Cinta’ serta fokus untuk menyiapkan dunia yang penuh ‘Cinta’.
Lebih ekstrim, Ivan Illich di dalam Deschooling Society menegaskan;
“Most learning is not the result of instruction. It is rather the result of unhampered participation in a meaningful setting. Most people learn best by being “with it,” yet school makes them identify their personal, cognitive growth with elaborate planning and manipulation.”
Illich kemudian membayangkan bahawa manusia belajar lebih banyak daripada pengalaman seharian daripada ketika duduk di sekolah;
“A…major illusion on which the school system rests is that most learning is the result of teaching. Teaching, it is true, may contribute to certain kinds of learning under certain circumstances. But most people acquire most of their knowledge outside school, and in school only insofar as school, in a few rich countries, has become their place of confinement during an increasing part of their lives.
Most learning happens casually, and even most intentional learning is not the result of programmed instruction. Normal children learn their first language casually, although faster if their parents pay attention to them. Most people who learn a second language well do so as a result of odd circumstances and not of sequential teaching. They go to live with their grandparents, they travel, or they fall in love with a foreigner. Fluency in reading is also more often than not a result of such extracurricular activities. Most people who read widely, and with pleasure, merely believe that they learned to do so in school; when challenged, they easily discard this illusion.”
Masa depan bergerak, teknologi semakin pantas dan dunia menjadi semakin kecil, tetapi sesi pengajaran dan pembelajaran anak-anak kelas hujung ini masih seperti 30 tahun yang lalu. Sistem nampaknya tidak berubah walaupun iPhone kini menggunakan iOS7. Pelan-pelan pendidikan mahupun pedagogi sedia ada nampaknya tidak mampu membantu anak-anak kelas hujung seperti Badri dan Zarul.
Guru perlu mengajar kerana Cinta anak bangsa dan keinginan untuk melihat mereka berubah dan keluar dari lingkaran kemiskinan, bukan kerana perlu menghabiskan silibus. Anak-anak perlu diajar untuk Cinta ilmu agar kelak mereka mampu mengubah diri dan keluarga mereka. Negara perlu membaca semula falsafah pendidikan nasional agar nasib anak-anak seperti Badri dan Zarul tidak tersisih seperti mana mereka di dalam sistem sedia ada.
Berhadapan dengan kerumitan sistem yang tidak stabil, politiko-sosio yang kecamuk dan krisis identiti nasional yang mendalam seperti hari ini, hanya ada satu pilihan di tangan kita iaitu dengan meletakkan Cinta di hadapan sebagai falsafah dan pedagogi – terutamanya untuk anak-anak kelas hujung.
Lebih besar tanggungjawab kita pada hari ini adalah untuk memahamkan anak-anak kelas hujung; mengapa sekolah perlu untuk mereka – serta bagaimana sekolah berfungsi sebagai alat pendidikan untuk membantu mereka menjadi manusia pada masa depan.
“The pupil is thereby ‘schooled’ to confuse teaching with learning, grade advancement with education, a diploma with competence, and fluency with the ability to say something new. His imagination is ‘schooled’ to accept service in place of value.”
- Ivan Illich
0 comments:
Post a Comment